Berdasarkan tinjauan mereka, sudah ada tanda-tanda pesta harga akan berlaku.
Ada peniaga sudah berani menaikkan harga barang kawalan seperti susu lemak manis pada kadar lima hingga 10 peratus sedangkan kerajaan belum meluluskannya.
Lebih malang lagi, syarikat lori juga berura-ura mahu menaikkan sewa atau upah pengangkutan sebanyak 20 peratus.
Jika ini terjadi kesan rantaian akan berlaku. Oleh itu kenaikan harga barang-barang pengguna tidak dapat dielakkan lagi.
Bagaimanapun tinjauan Unit Kawal Seliaan Harga Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di beberapa bandar hari ini mendapati harga barangan masih terkawal.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula yang melakukan tinjauan di pasar dan kedai runcit di Lembah Klang hari ini mengumpul data yang berbeza.
Mereka mendapati harga bahan dapur dan daging mentah sudah naik antara 10 hingga 40 peratus.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, ada peniaga di Petaling Jaya menjual daging mentah import pada harga RM10 sekilogram berbanding RM7 dua minggu lalu.
``Ada juga peniaga yang berani menjual barang kawalan seperti susu lemak manis. Ini betul-betul menakutkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati sebaliknya menyerap kos ekoran kenaikan harga bahan bakar.
Sudah menjadi kebiasaan harga barang-barang akan naik sehingga membebankan pengguna berpendapatan kecil setiap kali berlaku kenaikan harga minyak.
Rabu lalu kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit diesel dan petrol masing-masing 20 sen dan 10 sen seliter.
Harga runcit baru petrol premium (RON 97) di Semenanjung ialah RM1.52 seliter, petrol RON 92 RM1.48 seliter dan diesel RM1.081 seliter. Di Sabah dan Sarawak pula, harga runcit baru RON 97 ialah masing-masing RM1.50 dan RM1.51 seliter, RON 92 RM1.48 seliter di kedua-dua negeri, manakala diesel RM1.084 dan RM1.078 sen seliter.
Maamor bagaimanapun berkata, rata-rata peniaga yang ditemui menjadikan alasan kenaikan harga petrol dan diesel serta juga desakan pemborong dan pembekal menyebabkan mereka menaikkan harga.
Katanya, harga barangan dapur seperti bawang dan beberapa jenis sayuran termasuk timun dan kubis naik sehingga 20 peratus manakala ikan juga didapati naik sehingga paras 30 peratus.
``Ada pengguna bertanya kenapa naikkan barang sampai 20 sen, peniaga menjawab minyak juga naik dengan harga sama. Ini sudah tidak masuk akal,'' ujarnya.
Senario membimbangkan itu juga diakui oleh Pergerakan Pengguna Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (3P MTUC) yang turut mendapati ada pengusaha restoran di sekitar Bangsar, Brickfield dan Petaling Jaya menaikkan harga teh tarik dan roti canai antara 10 sen hingga 20 sen.
``Bila kita tanya kenapa, dia kata minyak sudah naik. Malah ada juga gerai kenakan `cukai perkhidmatan' kononnya nak tampung kenaikan minyak,'' kata naib pengerusi 3P MTUC, Shafie BP Mammal.
Keadaan itu katanya, tidak jauh berbeza di pasar-pasar sayur dan buah, pasar basah mahu pun di sesetengah pasar raya besar yang turut mengambil kesempatan ekoran kenaikan bahan api.
``Di pasar basah, ada (peniaga) yang pandai, dia jual ikan dengan harga patut tapi dia timbang ikut skala lain. Jadi, kalau ikan kembung biasa dijual RM5.60, mereka jual harga sama tapi kurangkan timbangan.
``Di pasar raya pula ada yang jual serai 3 batang sampai 80 sen. Apa semua ini? Saya tidak tahu kenapa pihak berkenaan tidak menyedari kepincangan ini, '' katanya lagi.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Shaani Abdullah pula berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai perkara itu dan sedang giat mengumpul maklumat untuk tindakan susulan.
``Pegawai dan kakitangan FOMCA di seluruh negara sedang berusaha mengumpul setiap maklumat dari segi aduan atau kedudukan harga semasa.
``Kita minta pihak pengguna buat aduan kepada FOMCA supaya mudah kita membuat tindakan susulan dari semasa ke semasa,'' ujarnya.
Sementara itu di ALOR STAR, Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) akan menaikkan sewa atau upah lori perdagangan yang berada di bawah persatuan itu sebanyak 20 peratus berkuat kuasa pada 15 Mei ini.
Presidennya, Yusoff Ismail berkata, kenaikan itu perlu bagi meringankan beban para pengusaha lori memandangkan kos operasi yang ditanggung begitu tinggi akibat kenaikan harga minyak diesel ditambah dengan kenaikan harga tol dan alat-alat ganti kenderaan.
Menurutnya, sebelum ini kos pengangkutan yang dikenakan kepada pelanggan adalah 7 sen untuk setiap satu kilometer bagi pelbagai jenis lori.
``Jika dahulu perjalanan dari Alor Star hingga Kuala Lumpur dikenakan RM35 untuk satu tan barangan, tetapi kini pelanggan perlu membayar RM42,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, persatuan selama ini sememangnya cuba memberikan yang terbaik kepada pelanggan dan tidak pernah menaikkan sewa kos pengangkutan sejak tahun 1993 walaupun harga diesel telah dinaikkan beberapa kali.
``Tetapi kali ini pengusaha-pengusaha lori tertekan dan merasai beban akibat kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan persatuan berkenaan di sini hari ini.
Yusoff berkata, bagi tidak membebankan pengguna, persatuan cuba untuk meletakkan harga baru pada paras paling minimum dan diharap keputusan itu difahami ramai.
Jelasnya, kira-kira 1,000 syarikat pengangkutan dengan 10,000 unit kenderaan menganggotai persatuan berkenaan yang merangkumi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menjalankan operasi di seluruh Semenanjung
Oleh: ABDUL MUIN SAPIDIN dan ROSMAWATI MION

| < Sblm | Seterusnya > |
|---|